SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan LS21 | Kelantan Darul Naim FC 0-7 Selangor FC | 7 Gol pada Hari Ke-7 Ramadan

Mar 09, 2025 - FAS

Selangor FC berjaya mempertahankan slot ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) bagi musim 2025/2026 selepas sekali lagi berjaya mengekalkan kedudukan di tempat kedua saingan Liga Super 2024/25 dengan kemenangan 7-0 menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC semalam.

Mengikut statistik, musim ini skuad Gergasi Merah berjaya menempah slot ke ACL2 lebih awal, dengan baki tiga perlawanan saingan Liga Super 2024/25 berbanding musim lalu, satu perlawanan. Satu pencapaian yang perlu dibanggakan. 

Menurut Katsuhito Kinoshi, Ketua Jurulatih Selangor FC, pencapaian pada malam ini adalah hasil pengorbanan pasukan.

“Saya selalu beritahu dalam sidang media bahawa sasaran pasukan adalah untuk mendapat tempat kedua dalam saingan Liga Super 2024/25. Walau bagaimanapun, hanya dengan bercakap semestinya mudah tetapi untuk memastikan kita tidak kalah dan kekal  bermotivasi tinggi adalah sangat sukar. Para pemain dan kakitangan telah berikan usaha mereka seratus peratus untuk berada di tahap ini. Kemenangan dan kelayakkan ini adalah hasil usaha mereka semua. Saya menghargai pengorbanan mereka,” kata beliau

Daripada perlawanan #KDNSFC semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

Kebangkitan Faisal Halim

Penantian untuk melaung ‘Si’ Faisal Halim berakhir apabila beliau akhirnya berjaya menjaringkan gol pertamanya pada minit ke-13 semalam, sejak kembali daripada kemalangan simbah asid yang dialaminya. Semalam menjadi perlawanan terindah buatnya kerana bukan sahaja satu gol tersebut, beliau berjaya menambah lagi dua gol pada minit ke 45+2 dan 66, menjadikan hatrik pertamanya bersama Selangor FC. 

Sifat tidak mudah mengalah beliau dipuji oleh Katsuhito Kinoshi, Ketua Jurulatih Selangor FC, “Mickey (Faisal Halim) sentiasa berikan seratus peratus dalam latihan dan juga perlawanan. Selain itu, sikap tidak mudah mengalahnya juga perlu dipuji. Beliau selalu datang kepada saya, mengatakan beliau perlukan lebih banyak masa bermain dan saya katakan kita akan perlahan-lahan untuk ke tahap itu. Akhirnya semalam saya memutuskan untuk meletakkan beliau dalam kesebelasan utama. Beliau berjaya membuktikan kemampuannya tetapi perlu terus berikan yang terbaik dalam perlawanan seterusnya. Beliau juga menunjukkan contoh terbaik bahawa jika anda berikan yang terbaik dalam sesi latihan dan terus motivasi tinggi walaupun kurang masa bermain, masa anda akan tiba. Saya sangat berpuas hati dengan persembahannya.”

Semoga ini menjadi titik permulaan yang hebat buat Mickey untuk terus mendapatkan rentak permainannya dan kembali beraksi seperti Faisal Halim yang cukup disegani selama ini. 

 

‘Assist’ hatrik Mukhairi Ajmal

Masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-53 perlawanan, Mukhairi Ajmal berjaya mencipta nama sebagai ‘assist’ untuk tiga gol berturut-turut sebaik sahaja masuk ke padang; minit ke-54 dan 56 gol Harith Haiqal serta minit ke-65 gol hatrik Faisal Halim. Beliau secara tidak langsung telah menambah kekuatan di bahagian serangan dengan kelebihan yang dimilikinya.

Quentin Cheng, Harith Haiqal dan Izwan Yuslan menambah jaringan peribadi

Tiga pemain daripada skuad pembangunan Selangor FC ini terus membuktikan diri mereka di pentas Liga Super dari musim ke musim. Quentin Cheng semestinya antara pemain tempatan beraksi dengan cemerlang musim ini, beliau berjaya penjaringkan sebuah gol yang sangat menakjubkan semalam pada minit ke-31 selepas menerima hantaran jauh daripada Nooa Laine. Selain itu, prestasi Harith Haiqal juga tidak kurang hebatnya pada musim ini, beliau berjaya menjaringkan dua gol berturut-turut menerusi hantaran Mukhairi Ajmal pada minit ke-54 dan 56 perlawanan. Manakala, Izwan Yuslan, pemain termuda dalam pasukan, dalam usaha mencipta namanya, berjaya menjaringkan gol senior keempatnya pada minit ke-72 perlawanan, jaringan penutup aksi #KDNSFC.

Kejayaan perlawanan #KDNSFC serta layak ke ACL2 untuk dua musim berturut-turut semestinya hasil kerjasama semua termasuk barisan jurulatih, pegawai, pemain dan begitu juga para penyokong. 

Pihak pengurusan Selangor FC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyokong yang telah memeriahkan Iftar Muhibah, majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim yang dianjurkan sebelum perlawanan bermula semalam serta bagi sokongan yang anda berikan.

Seterusnya, skuad Selangor FC akan terbang ke negeri Sarawak bagi perlawanan ketiga terakhir saingan Liga Super 2024/25 menentang Kuching City FC pada 16 Mac ini di Stadium Negeri Sarawak pada jam 9:15 malam.

Demi Kebanggaan!